comscore
Tumpuan :
Nasional

“Biasanya pukul 3 atau 4 petang mereka sudah balik bawa tangkapan…”

Nik Suliana ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui suami dan anaknya dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan semalam. – foto NSTP

BACHOK: Tiga nelayan termasuk dua beranak yang keluar menangkap ikan di Perairan Kemasin dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah jam 12 tengah hari semalam.

Rohaimi Ahmad,47, dan anaknya, Nik Muhammad Syafiqrullah, 21, serta rakan anaknya, Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29,
dikatakan keluar ke laut pada jam 3 pagi semalam.

Anak Rohaimi, Nik Nur Shahira, 17, berkata bapa dan abangnya serta rakan abangnya turun ke laut menaiki perahu sekuchi milik suaminya Raja Muhammad Shamsul Amir, 31.

Nik Suliana menunggu kepulangan suami dan anaknya serta rakan anaknya yang hilang selepas keluar ke laut awal pagi semalam. – foto NSTP

“Kami cuba hubungi mereka tetapi tidak berjaya, kami juga tunggu hingga petang, namun mereka tetap tak balik.

“Suami saya keluar mencari namun tidak menemui mereka, jadi kami membuat laporan polis pada jam 10 malam tadi,” katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kemasin, di sini, hari ini.

Shahira berkata, kali terakhir, dua panggilan mereka berjaya masuk ke nombor telefon bimbit Muhammad Amir namun tidak diangkat.

“Biasanya mereka pergi menangkap ikan tidak jauh dan kami masih boleh berhubung, tetapi kali ini mereka tak dapat menjejaki mereka,” katanya yang menunggu di jeti bersama ibunya, Nik Suliana Bikri Kama, 41.

Foto: Rohaimi Ahmad

Sementara itu, Nik Suliana berkata  ketiga-tiga mereka sudah biasa ke laut dan berpengalaman lebih 10 tahun menangkap ikan.

“Biasanya pukul 3 atau 4 petang mereka sudah balik dan membawa tangkapan, tetapi sehingga jam tersebut mereka tidak muncul dan usaha pencarian dilakukan bermula 6 petang semalam,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Saripudin Ishak pula berkata, mengikut maklumat nelayan lain, ketiga-tiga mangsa turun ke laut di kawasan ‘Ujang Geleng’ kira-kira 26 kilometer dari Jeti Kuala Kemasin.

Katanya, keadaan cuaca semalam agak berjerebu dan berisiko kepada bot kecil.

Foto Nik Muhammad Syafiqrullah

Sementara itu, operasi menyelamat dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain dengan membuka pusat operasi sejak jam 9 pagi tadi.

Ketua Operasi Maritim Malaysia, Leftenan Maritim Ishak Rahmat berkata, enam anggota di darat dan lapan anggota di laut terlibat dalam operasi itu menggunakan satu bot Perkasa 1233 di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).

Loading...
Terkini