SEGAMAT: “Rupanya semalam, dia sekeluarga pergi buat selamanya,” itu luahan kakak kepada mangsa kemalangan maut enam beranak di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini, semalam.
Norhayati Noor Muhamad, 51, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan keluarga adiknya Norahimah, 43, pada Ahad minggu lalu ketika majlis perkahwinan adik bongsu, Norahila, 36, di rumah ibu mereka di Parit Jawa, Muar.
Ketika kenduri, Norahimah sempat berseloroh untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan sebelum salah seorang daripada adik-beradik mereka pergi dijemput Ilahi.
Artikel berkaitan: Lori terbabas punca nahas maut 6 sekeluarga
“Semasa kenduri hari itu, arwah minta bergambar beramai-ramai. Dia cakap mana tahu salah seorang daripada kita pergi dahulu, boleh buat kenang-kenangan,”katanya.
Norhayati berkata, jika sebelum ini dia biasa melihat dan dengar berita kemalangan berlaku membabitkan satu keluarga sekaligus, namun semalam kejadian itu menimpa ke atas keluarga juga adiknya sendiri.
“Memang masih terkejut dan tidak sangka. Kemalangan ini melibatkan keluarga adik saya. Dia anak ketiga, saya anak kedua, dari empat beradik.
“Kami reda dan memang dugaan berat dalam keluarga kami,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Daerah Segamat di sini, hari ini.
Norhayati yang juga guru agama memberitahu, dia menerima perkhabaran duka itu kira-kira jam 7.28 malam daripada saksi kejadian.
Artikel berkaitan: Jenazah enam sekeluarga mangsa nahas dituntut waris
Orang awam itu menghantar gambar melalui WhatsApp selepas mendapatkan nombor telefon seorang daripada anak mangsa.
“Dia (saksi kejadian) cakap kalau nak tahu apa-apa boleh hubungi Balai Polis Segamat, tetapi saya terus ‘call’ (menelefon) dia dan dapat sahkan memang itu keluarga adik saya,” katanya.
Norhayati menyifatkan Norahimah, seorang adik yang ceria dan periang serta ibu yang tegas.
“Dia seorang yang ‘happy-go-lucky,’ nak kata garang tidak cuma dia seorang ibu yang tegas,” katanya.
Ketika kejadian, Norhayati berkata, adik iparnya, Amir Ruddin Ismail, 46, bersama isteri serta tujuh anaknya dalam perjalanan dari Ladang Tereh Utara, Kluang untuk menghantar Noorahimah (isteri mangsa) pulang ke rumah di Felda Kemedak.
Jelasnya, Norahimah juga merupakan seorang guru agama di Sekolah Agama Felda Kemedak di sini.
Terdahulu, polis mengesahkan Amir Ruddin, isterinya Norahimah, serta anak mereka Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5 maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini, petang semalam.