Tumpuan :
Nasional

‘Biar pihak JPJ siasat sudut teknikal terlebih dahulu’ – Azam Baki

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sentiasa bersedia untuk menyiasat sekiranya wujud isu integriti dalam hasil siasatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kes kenderaan tidak selamat yang diluluskan Puspakom Wangsa Maju dalam pemeriksaan mengejut JPJ semalam.

Jelasnya, SPRM sentiasa mengikuti perkembangan kes terbabit dan memberi ruang siasatan dijalankan agensi berkenaan.

“Saya rasa lebih baik JPJ menjalankan siasatan terperinci dari segi teknikalnya dan sepertimana kenyataan Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dia akan lihat isu-isu berbangkit yang diperiksa.

“Sekiranya ada isu tentang integriti tatakelola dan rasuah dia akan rujuk kepada SPRM. Saya rasa lebih baik JPJ siasat dulu, kita tengok apa hasil siasatannya,” jelas Azam ketika dihubungi BUletin TV3 hari ini.

Tambah Azam, SPRM sentiasa mengikut perkembangan kes terbabit dan ada berbincang dengan agensi tersebut.

“Kita mengikuti, pihak kita ada berbincang dengan pihak JPJ. Jadi keputusan yang saya buat adalah biar pihak JPJ dan pihak berkuasa lain melihat dari sudut aspek teknikal terlebih dahulu,” katanya lagi.

Terdahulu, tiga kakitangan Puspakom tampil di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya kira-kira jam 10.30 pagi tadi untuk disoal siasat berhubung kes kenderaan tidak selamat yang lulus pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju.

Ia susulan pemeriksaan mengejut dijalankan JPJ di 25 premis Puspakom seluruh negara semalam.

Loading...
Terkini