PETALING JAYA: Senator Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dilantik sebagai Penasihat Kehormat, Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University, BFSU.
Surat pelantikan berkenaan diterima beliau pada 10 april lalu daripada Pengarah Sekolah Pengajian Asia yang juga Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, BFSU, Prof Dr Su Yingying.
Menerusi hantaran di Facebook, Dr Awang, berkata pelantikan itu adalah kesinambungan dua kali tugas beliau sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China 2008 hingga 2011 dan 2016 hingga 2018 selain sebagai Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan BFSU yang dianugerahkan pada 2012.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka DBP berkata, pelantikan itu menjadi landasan persefahaman rakyat dua negara melalui pendidikan dan kebudayaan.
Pusat Bahasa Melayu ditubuhkan di BFSU pada 1997 sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya mengenai pengajaran bahasa Melayu di China.
Pada 2005 pula, Pusat Bahasa Melayu dinaikkan taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China dan secara rasminya menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China.