comscore
Tumpuan :
Nasional

Beruang matahari kelaparan makan minyak masak terpakai

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

SETIU: Seekor beruang matahari jantan seberat 140 kg yang sering menceroboh masuk rumah penduduk di Kampung Padang Serai di sini, akhirnya masuk perangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sebelum ini kehadiran beruang itu turut menyebabkan kanak-kanak di kampung berkenaan takut untuk keluar rumah.

Menurut penduduk Amir Hakim Mohd Zaki, 21 tahun, sebelum ini beruang itu pernah menceroboh ke dalam rumah keluarganya dan menghabiskan sisa makanan di bahagian dapur.

“Kejadian ini berlaku kira-kira bulan lepas yang mana haiwan tersebut juga turut menghabiskan minyak masak terpakai yang disimpan di bahagian belakang dapur rumah kami.

“Kira-kira 15 kilogram minyak masak terpakai yang disimpan di dalam botol itu habis dimakan haiwan berkenaan dan ia disedari apabila kami menjumpai botol minyak tersebut dibuang di sekitar rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk Ramli Jusoh, 63, berkata penangkapan haiwan liar itu melegakan ramai pihak.

“Alhamdulillah kami amat lega apabila haiwan ini ditangkap kerana ia telah dikesan berkeliaran di kawasan rumah penduduk sejak hampir dua bulan yang lalu,” katanya.

Sementara itu PengarahPerhilitan Negeri Terengganu, Loo Kean Seong berkata pihaknya telah menerima aduan berhubung beruang berkenaan sejak 12 Jun lalu.

“Satu perangkap telah dipasang sejurus kita menerima aduan daripada penduduk setempat.

“Ekoran daripada itu juga kita juga telah menangkap seekor beruang pada 20 Jun lalu dan semalam seekor lagi ditangkap di Kampung yang sama,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, haiwan berkenaan telah dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini