comscore
Tumpuan :
Nasional

Beruang masuk kampung berjaya ditangkap PERHILITAN

Beruang matahari betina seberat 70 kilogram yang berjaya ditangkap oleh PERHILITAN

Oleh Kumaran Rajamoney

YAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Kedah berjaya menangkap seekor beruang matahari betina di Kampung Kabu Sepuluh, di sini hari ini.

Beruang yang dianggarkan seberat lebih 70 kilogram itu, dipercayai memasuki kawasan sawah di kampung itu pagi tadi sebelum penduduk melaporkan kejadian kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) sekitar jam 9 pagi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenen (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli ketika dihubungi Buletin TV3 memaklumkan, beruang itu didapati bertindak berlari secara agresif di sekitar kawasan sawah selepas menyedari kehadiran manusia.

“Pihak APM bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan kerja-kerja menangkap beruang itu. Ketika usaha itu dilakukan, beruang itu telah menyerang dan mencengkam tangan seorang daripada anggota bomba dengan kukunya yang tajam.”

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Yan bagi mendapatkan rawatan. Usaha menangkap beruang itu kemudiannya diketuai oleh anggota PERHILITAN yang menembak dengan ubat pelali,” katanya.

Beruang itu bagaimanapun katanya kekal agresif untuk seketika sebelum pengsan sepenuhnya sebelum berjaya ditangkap dan serahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut.

Beruang matahari betina yang sudah dewasa itu dipercayai keluar dari habitatnya di Gunung Jerai untuk mencari makanan.

Loading...
Terkini