Tumpuan :
Nasional

Beruang berkeliaran di kawasan kampung masuk perangkap

Anggota Perhilitan memindahkan beruang matahari yang masuk perangkap di Kampung Banho. Foto NSTP

CHUKAI: Seekor beruang matahari yang kerap berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Banho, di sini, akhirnya berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pagi tadi, sekali gus melegakan penduduk yang bimbang keselamatan keluarga mereka terancam.

Perhilitan memasang perangkap itu Selasa lalu di belakang rumah penduduk, dan berjaya ‘menjerat’ beruang jantan seberat kira-kira 60 kilogram itu, kira-kira 6.30 pagi tadi.

Roslita Mat Yazid, 49, berkata, beruang terbabit menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan sejak seminggu lalu sebelum pihak Perhilitan bertindak memasang perangkap di kawasan berkenaan.

“Tenang hati saya bila ia (beruang) dah masuk perangkap,” katanya ketika ditemui hari ini.

Roslita berkata, berkata, sejak seminggu lalu, beruang terbabit sering berkeliaran termasuk merosakkan pokok kelapa yang ditanam di sekitar kediamannya.

“Syukur sangat (beruang masuk perangkap), kami dah boleh tidur lena dan tak bimbang lagi nak keluar rumah, terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata, beruang terbabit yang dianggarkan seberat kira-kira 60 kilogram berada dalam keadaan sihat dan tidak cedera.

“Empat anggota kami segera memindahkan beruang terbabit dan akan dilepaskan semula ke habitat yang sesuai,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini