comscore
Tumpuan :
Nasional

Bertukar 7 MoU, Syarikat Malaysia-India pertingkat dagangan dua hala

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Oleh: Kumaran Rajamoney

NEW DELHI: Momentum dagangan Malaysia-India disasar meningkat pada tahun ini, berdasarkan nilai dagangan kedua negara itu yang menunjukkan peningkatan baik pada kadar 15 peratus pada tahun 2023.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan kedua negara bersetuju untuk menaikkan taraf dan menambah baik perjanjian sedia ada.

Keputusan itu katanya, hasil dari pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya Narendra Modi sempena lawatan rasmi tiga hari ke republik itu.

“Ia melibatkan peningkatan hubungan daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang merangkumi banyak pelaburan dan perdagangan dalam sektor seperti pembuatan, semi konduktor, ekonomi digital dan teknologi kewangan (fintech) sampailah aspek keselamatan makanan dan sebagainya.”

“Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) membabitkan syarikat Malaysia dan India, yang turut disertai Majlis Perniagaan Malaysia India (MIBC) juga berlangsung bagi memperincikan soal pelaburan ini sebelum ketibaan Perdana Menteri,” katanya.

Tengku Zafrul terdahulu menyaksikan pertukaran tujuh memorandum persefahaman (MoU) membabitkan syarikat dari Malaysia dan India, merangkumi industri logistik, ekuiti swasta, pelaburan dan syarikat pemula.

MoU pertama ialah antara Renegy Bumi Hijau Sdn Bhd (RBHSB) dengan Kolej Kejuruteraan Thiagarajar, Madurai, Tamil Nadu, India (TCE), disusuli MoU antara Beyond4 Sdn Bhd dan T-Hub Foundation.

MoU ketiga adalah antara Mutiara Etnik Sdn Bhd dan Neptune Automation SWM Pvt Ltd, seterusnya ialah MoU antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Rail Vikas Nigam Limited, India (RVNL)

MoU kelima adalah antara Cradle Fund dan invest India, keenam ialah MoU antara SMH Rail Sdn Bhd, Malaysia dan BEML Limited Bengaluru, India dan MoU terakhir adalah antara MIBC dan Invest India.

Kata Tengku Zafrul, syarikat India telah memberi komitmen untuk melabur dalam tiga syarikat Malaysia, membabitkan RM4.5 bilion dan dari segi perdagangan, mendapat komitmen untuk membeli barangan Malaysia seperti elektrikal dan elektronik, minyak sawit, kimia, bernilai RM8 bilion.

Syarikat semikonduktor India katanya, menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia yang maju dalam sektor itu.

Selain itu, tambah beliau, Perdana Menteri turut menekankan pembangunan bakat terutama bidang kejuruteraan dan India bersetuju bekerjasama, seperti mana dalam bidang digital, bagi melatih pekerja Malaysia dan menawarkan kerja kepada mereka

“Perdana Menteri menetapkan tempoh tiga bulan untuk kembali melaporkan kemajuan kepadanya mengenai apa yang kita boleh buat bersama-sama dengan India dan dari sudut perdagangan.

“Banyak bidang baharu yang kita boleh diberikan tumpuan. Perjumpaan meja bulat bersama penraju industri agak menarik kerana ada kepakaran Malaysia yang India perlukan dan juga sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke India hari ini, sejurus sebelum pulang ke tanah air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini