comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] BERSATU gantung keahlian Iskandar Dzulkarnain 4 tahun

 

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung keahliannya oleh BERSATU selama tempoh empat tahun.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan malam ini, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Lembaga Disiplin BERSATU bersidang semalam, bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran Perlembagaan oleh Iskandar.

“Selepas diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan BERSATU.

“Sehubungan dengan itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain digantung keahliannya berserta semua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023 (semalam),” katanya.

Sebelum ini, Iskandar dalam satu kenyataan memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Selain Iskandar, seorang Ahli Parlimen Labuan daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaili Abdul Rahman turut menzahirkan sokongan serupa kepada kepemimpinan Anwar.

Suhaili dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan kos sara hidup semakin tinggi serta masalah bekalan air dan elektrik di sana.

Loading...
Terkini