comscore
Tumpuan :
Nasional

Berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah – Sultan Mizan

Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu 1446/2024M di Stadium Tertutup, Gong Badak. – FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan institusi agama sama ada di peringkat pusat dan negeri untuk meningkatkan kefahaman dalam kalangan umat Islam bagi menyatukan ummah di bawah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Baginda bertitah, penyatuan umat Islam di bawah payung akidah ASWJ adalah suatu keperluan mendesak pada masa kini bagi mengelak perpecahan dan perselisihan yang boleh merosakkan perpaduan ummah.

“ASWJ atau dikenali sebagai Sunni adalah golongan majoriti dalam dunia Islam yang berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan difahami oleh sahabat Baginda.

“Di Malaysia, ASWJ adalah aliran utama dalam Islam yang dianuti oleh seluruh umat Islam.

“Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu pun kerajaan negeri di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) (perlu) memastikan umat Islam di Terengganu berpegang dengan ASWJ.

“ASWJ iaitu aspek akidah beraliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah, dari aspek syariah bermazhab Syafie dan meraikan mazhab muktabar lain dan dari aspek tasawuf mengikut Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

“Dengan berpegang teguh kepada akidah yang benar dan murni, kita dapat menghadapi segala cabaran dan ancaman yang mendatang,” katanya.

Baginda bertitah ketika Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu 1446/2024M di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Baginda turut menyarankan program yang memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji di kalangan anak-anak muda diperkasakan.

Titah baginda, institusi pendidikan agama harus menyediakan ruang yang mencukupi untuk pembelajaran ilmu agama yang komprehensif dan mendalam.

“Masjid dan surau bukan sahaja dijadikan tempat beribadah, tetapi juga pusat pendidikan dan pembentukan akhlak.

Terdahulu, seramai 1,888 peserta membabitkan 59 kontinjen menjayakan perarakan sejauh 3.4 kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446/2024 Peringkat Terengganu di sini hari ini.

Perarakan bermula dari padang sintetik Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini