Tumpuan :
Nasional

BERNAS tak perah bincang import beras dari Pakistan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memaklumkan tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan untuk mengimport beras putih dari Pakistan.

Kenyataan itu dikeluarkan BERNAS susulan kenyataan Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mengenai cadangan kerajaan mengimport beras putih dari Pakistan.

Melalui kenyataan, BERNAS menegaskan Malaysia tidak mengalami sebarang krisis bekalan beras, dengan beras putih import (BPI) sentiasa mencukupi bagi keperluan negara.

“BERNAS menggalakkan agar kenyataan media yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan isu import beras hendaklah disokong dengan fakta dan perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk BERNAS untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta impak kepada kestabilan pasaran beras negara,” katanya.

Semalam Syed Abu Hussin memaklumkan cadangan kerajaan mengimport beras putih dari Pakistan merupakan kaedah yang berpotensi bagi menoktahkan kemelut berhubung harga dan bekalan beras putih di pasaran tempatan.

Beliau berkata, cadangan itu telah disuarakan kepada BERNAS selaku pengimport tunggal beras di negara ini.

Sementara itu, BERNAS berkata, pihaknya sentiasa memastikan harga BPI kekal kompetitif dan sejajar dengan corak harga pasaran dunia sambil menambah Pakistan adalah salah satu negara utama pembekal BPI, selain Thailand, Vietnam dan India.

Katanya, sebagai pelaksana perjanjian konsesi dengan kerajaan, pihaknya komited terhadap tanggungjawab sosial yang ditetapkan dengan memastikan padi tempatan sentiasa mendapat pasaran yang baik apabila pesawah tidak dapat memasarkan padi keluaran mereka kepada kilang swasta.

“(Selain itu BERNAS) melaksanakan pengurusan stokpail yang mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara yang mencukupi adalah antara 10 obligasi sosial BERNAS bernilai RM3.2 bilion sepanjang tempoh konsesi.

“Menyokong kebajikan pesawah melalui perkongsian keuntungan beras import sebanyak 30% dan bantuan ‘one off’ RM60 juta kepada pesawah yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini