Tumpuan :
Nasional

BERNAS setuju turunkan harga jualan Beras Putih Import RM2,800 per tan metrik berkuatkuasa 1 Dis

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. – FOTO: NSTP

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bersetuju menurunkan harga jualan Beras Putih Import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan berkuatkuasa 1 Disember ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kementeriannya bersama BERNAS baru-baru ini.

“Penurunan harga ini adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran ringgit berbanding dollar AS.

“Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Kementeriannya akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

Ujarnya, ia bagi memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang, seterusnya dalam menjaga kebajikan pesawat serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.

“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” jelasnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini