Oleh: Aslina Abu Bakar
HULU SELANGOR: Penyembelih lembu bukan sahaja perlu berani dan mempunyai tenaga kuat.
Mereka sebenarnya perlu tahu teknik serta hukum yang betul sebelum melaksanakan tugas penyembelihan.
Bagi Nor Azhar Ghazali , 31, dari Rawang, Selangor berkata, setiap kali Aidiladha dia tidak menang tangan melakukan tugas itu.
Permintaan yang meningkat mengerah bapa kepada seorang cahaya mata ini menyembelih 50 ke 80 ekor lembu dalam masa sehari.
Menurutnya lagi, sejak berusia 14 tahun, dia gemar mengikuti orang tuanya melakukan aktiviti rewang dan melapah lembu.
Meskipun minat sudah dipupuk sejak kecil tetapi tugas menyembelih lembu bermula lima tahun lalu apabila Azhar menjadi bidan terjun menyembelih lembu gara-gara tukang sembelih tidak dapat datang.
“Setiap tahun kami akan buat korban di rumah.. tapi pada satu pagi hari raya tu tok imam yang ditugaskan untuk datang sembelih lembu tidak dapat hadir kerna cucunya sakit.
“Kami cemas la ketika tu, macamana nak sembelih.. kebetulan pula masa tu saya dah pergi kursus sembelihan.. jadi saya bagitahu dekat keluarga biar saya yang sembelih alang-alang peralatan pun sudah ada,”katanya.
Sejak peristiwa itu Azhar yang pada mulanya hanya menjalankan perniagaan pisau sembelihan mengambil keputusan bekerja sebagai penyembelih lembu.
“Saya pun belajar daripada orang dulu-dulu, macamana teknik nak menyembelih, macamana teknik nak rebahkan lembu serta cara penyembelihan yang selamat,”katanya.
Bagi memastikan perjalanan penyembelihan berjalan lancar dan memenuhi tuntutan Islam, setakat ini Azhar membelanjakan kira-kira 10 ribu ringgit untuk membeli kelengkapan penyembelihan termasuk parang dan pisau.
“Peralatan pun satu perkara yang penting untuk menyembelih, pisau yang digunakan pun perlu betul-betul tajam,” katanya yang mengambil masa tidak kurang 10 minit untuk menyembelih seekor lembu.
Sementara itu pengusaha tenakan lembu dan kambing Mohamed Sharrif Shir Mohamed berkata.. Azhar merupakan salah seorang daripada empat pekerja yang mahir menyembelih lembu.
” Yang saya latih menyembelih kebanyakan anak-anak muda tapi tukang sembelih utama kita adalah Azhar.
“Setakat ini dia lah yang paling pantas kalau bab sembelih, tiada yang boleh lawan sebab dia sembelih sekali je..orang lain dua tiga kali jugak, tapi sebab memang kepakaran dia jadi senang la dia buat,”katanya.
Selain memerlukan tenaga yang kuat, seorang penyembelih lembu juga perlu mandapatkan kad tauliah atau kebenaran penyembelihan daripada Jabatan Veterinar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.