comscore
Tumpuan :
Nasional

Berlaku zalim kepada kanak-kanak, tunggu hukuman – Onn Hafiz

Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Tindakan tegas akan terus diambil kepada sesiapa yang berlaku zalim kepada kanak-kanak.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata demikian susulan kejadian yang menimpa kanak-kanak lelaki yang dipercayai didera ibu kandung dan rakannya di Bandar Layangkasa dekat Pasir Gudang di sini.

Beliau berkata, mereka yang mendera mangsa akan didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Katanya ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun itu kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Saya dimaklumkan mangsa akan dijaga oleh datuknya selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti.

“Terima kasih saya ucapkan kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling dan terus melaporkan kes berkenaan ke talian kecemasan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang pantas bertindak bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit,” katanya menerusi perkongsian di Facebook (fb) hari ini.

Terdahulu Onn Hafiz turut melawat Iman di HSI bagi mengikuti perkembangan keadaan kesihatan kanak-kanak berkenaan sekaligus bagi memberi sokongan moral kepada keluarga berkenaan.

Kelmarin, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menyatakan wanita warga tempatan berusia 27 tahun yang juga merupakan ibu mangsa dan seorang wanita warga asing berusia 30 tahun itu ditahan.

Terdahulu tular dua klip video yang masing-masing berdurasi 24 saat dan 32 saat di media sosial.

Dalam video terbabit memaparkan beberapa individu dipercayai jiran-jiran di kawasan perumahan berkenaan berkumpul di hadapan rumah meminta agar kanak-kanak lelaki berkenaan dibawa keluar.

Video seterusnya berdurasi 32 saat pula memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami beberapa luka di bahagian belakang badan termasuk kesan lepuh dan berlubang dipercayai akibat didera.

Loading...
Terkini