SHAH ALAM: Kegiatan penyelewengan diesel subsidi di sebuah stesen minyak di Seksyen 22, di sini sejak enam bulan lalu, akhirnya terbongkar apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, pada Isnin lalu.
Dalam serbuan jam 10.30 malam itu, lima lelaki termasuk seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh berusia 25 hingga 30 tahun diberkas.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata pihaknya merampas tiga lori termasuk kontena yang telah diubahsuai serta13,802 liter diesel berjumlah RM29,674.
Beliau berkata, sebelum serbuan dilakukan, ketiga-tiga lori berkenaan dilihat berulang kali melakukan pengisian di stesen itu selama dua jam.
Katanya, mereka didapati melakukan pengisian menggunakan dua nozel pam dalam satu-satu masa.
“Minyak itu kemudiannya disalurkan ke tangki tambahan termasuk jenis fiber yang telah diubahsuai dalam lori atau kontena melalui pam penyedut.
“Lori berisi kontena itu contohnya telah mengisi 8,352 liter diesel daripada keseluruhan kapasiti kontena sebesar 20,000 liter,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil semakan, sindiket melakukan 16 transaksi pembayaran dalam tempoh dua jam.
Sindiket berkenaan aktif melakukan kerja penyelewengan itu sejak enam bulan lalu.
Jelasnya, modus operandi sindiket adalah membuat pengisian di stesen minyak sama secara berulang antara enam hingga 10 kali sehari.
“Sindiket ini dipercayai bergerak aktif bermula jam 9 malam hingga 1 pagi dengan kesemua diesel subsidi itu dihantar ke stor penyimpanan sebelum dijual di pasaran gelap.
“Hasil pemeriksaan lori-lori digunakan itu tidak mempunyai lesen dan permit bagi tujuan urusan barangan kawalan daripada KPDN,” ujarnya.