Kuala Lumpur: Polis akan merakam keterangan ibu bapa bayi berusia lapan bulan yang meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta di kawasan parkir Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, buat masa ini pihaknya masih memberi ruang kepada pasangan itu yang masih berduka atas kejadian yang berlaku.
“Beri ruang kepada mereka melalui detik ini. Kita akan panggil ibu bapa bayi itu nanti untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta di kawasan parkir hospital itu.
Mangsa sepatutnya dihantar ke taska selepas keluar dari rumah bersama ibunya pada 7.20 pagi, namun difahamkan ibu mangsa terlupa dan hanya menyedari mangsa yang ditempatkan di tempat duduk penumpang belakang pada petang.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.30 petang.