comscore
Tumpuan :
Nasional

Berhimpun di belakang Kedutaan AS, polis rakam percakapan 7 individu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

KUALA LUMPUR: Tujuh individu termasuk penganjur perhimpunan solidariti yang berlangsung di pintu belakang Kedutaan Amerika Syarikat, di sini, pada Isnin lalu sudah dirakam keterangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya, untuk arahan selanjutnya.

“Pihak penganjur tidak menyerahkan notis pemakluman kepada polis dan tidak mendapat kebenaran daripada pemilik premis, mereka seharusnya mematuhi peraturan termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Kertas siasatan itu dijangka dilengkapkan dan diserahkan pada minggu ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, tujuh individu menyatakan sokongan ke atas Palestin dan mengecam tindakan Israel pada himpunan yang bermula pada jam 8.10 pagi.

Susulan itu katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Rusdi berkata, orang ramai dinasihatkan tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang kerana tindakan akan diambil kepada pihak terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini