comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Berhabis’ demi motosikal klasik, vintaj

Peminat motosikal klasik, Chua Jim Kheng (tengah) bersama rakannya Agus Chawang bergambar (kiri) bergambar bersama Matchless Bike berusia lebih 100 tahun. FOTO: Majalah 3

MELAKA: Minat terhadap motosikal klasik dan vintaj tidak menghalang pengumpulnya untuk berbelanja besar demi kepuasan peribadi.

Chua Jim Kheng, 66 tahun, kini memiliki 11 buah motosikal klasik pelbagai model antaranya jenama BSA, Ariel, Norton dan Honda dengan kebanyakannya berusia lebih 100 tahun.

“Kalau tidak silap ada 11 ke 12. Ada yang belum buat. Sebab usia saya pun sudah 66. Tapi saya ada satu motor lama yang 1914 punya Matchless Bike, itu vintaj. Cara lain, bunyi lain, cara bawa pun lain,” katanya dalam program Majalah 3.

Dia juga pemilik tunggal Harley Davidson paling jarang ditemukan, iaitu Model X, generasi pertama enjin V-twin bagi jenis motosikal yang dikeluarkan pada 1920, dibeli dengan harga RM30,000 daripada seorang lelaki berbangsa Itali di Melbourne, Australia pada 1992.

Menurut pesara askar wataniah ini, segalanya rasa ‘terbayar’ apabila melihat hasil kerja restorasi yang dilakukan bertahun lamanya menyusur megah menjadi tontonan.

Bagaimanapun antara cabaran bagi peminat motosikal klasik adalah proses restorasi supaya jentera itu dapat digunakan semula.

Proses restorasi Matchless Bike. FOTO: Majalah 3

Dalam komuniti permotoran klasik, peminatnya menjalin persahabatan dari segenap benua kerana dengan cara ini, mereka boleh mendapatkan alat ganti yang kini pastinya sukar ditemui.

Menerusi komuniti itu, Chua berkenalan dengan seorang mekanik motosikal klasik dari Jakarta, Setiawan Rahardi atau Agus Chawang sejak lebih 10 tahun lalu.

Kerana berkongsi minat sama, Agus, 44 tahun, datang ke Malaysia baru-baru ini, bagi membantu Chua membaiki Matchless Bike.

“2 tahun lalu, Kapten Chua berkata dia kekurangan alat ganti. Dia mahu motosikal ini mampu bergerak seperti baru keluar dari kilang. Saya tidak mempunyai contoh, hanya ada gambar yang resolusinya sangat kecil. Jadi saya agak-agak bentuknya. Saya cuba banyak kali, jika tidak sesuai, saya buat lagi,” kata Agus.

Sebahagian alat ganti motosikal ini ditempah dari luar negara antaranya United Kingdom dan Amerika Syarikat, selain yang dibawa oleh Agus dari Indonesia.

Hasilnya, motosikal yang digunakan ketika Perang Dunia Pertama dan berusia lebih 100 tahun ini boleh dihidupkan.

Bagi peminat dunia permotoran, melihat karya ini di jalanan ibarat seni yang tidak terungkap. Rata-rata peminat motor klasik vintaj teruja melihat motorsikal ini.

Dengan kembalinya Matchless Bike di jalan raya, Chua kini memiliki motosikal vintaj tertua di Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ‘Restorasi Motosikal Vintaj’, saksikan Majalah 3 pada jam 9 malam ini di TV3.

Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini