comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bergurau konon ada bom dalam bungkusan, penjaga stor ditahan

 


Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes melakukan ancaman bom di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata hasil siasatan awal, suspek berusia 23 tahun itu mengaku menulis nota berunsur ugutan itu dengan tujuan untuk bergurau.

Menurut beliau, suspek bekerja sebagai penjaga stor sebuah syarikat di Seri Kembangan.

Suspek mengaku ada menulis nota pada balutan plastik hanya untuk bergurau dengan rakan sekerjanya.

Namun belum sempat tulisan itu dipadamkan, bungkusan berkenaan telah diambil oleh agen kurier.

Hasil siasatan, suspek katanya ditahan pada hari sama kejadian di pejabat JSJ IPD KLIA selepas diarah hadir memberi keterangan.

Kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sepang hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, pasukan Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan K9 PDRM dikejarkan ke Pusat Kargo KLIA selepas menerima laporan berhubung bungkusan mencurigakan.

Berdasarkan mesin pengimbas, bungkusan itu dipercayai mengandungi bateri dan beberapa wayar.

Selain itu, terdapat tulisan “Awas Jangan Campak Nanti Meletup Ini Bom” pada bungkusan.

Sejurus pemeriksaan rapi dilakukan, bungkusan itu didapati mengandungi komputer riba dan kabel pengecas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini