Tumpuan :
Nasional

Bergaduh dengan teman wanita, bongkar lelaki miliki pistol tanpa lesen

Foto hiasan

AMPANG: Pergaduhan dengan kekasih membongkar ‘rahsia’ seorang lelaki memiliki pistol semi auto tanpa lesen dan permit sah dalam kejadian di sebuah kondominium di Taman Cempaka, di sini, Sabtu lalu.

Lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung pergaduhan itu pada 4.10 petang, Sabtu lalu sebelum seorang wanita warga Filipina memberitahu dia bergaduh dengan suspek, teman lelakinya.

Menurutnya, wanita berkenaan turut memaklumkan lelaki itu memiliki pistol dan menyerahkan sebungkus plastik yang berisi pistol bersama 30 peluru bersaiz sembilan milimeter (mm).

“Punca pergaduhan kerana wanita berusia 34 tahun itu cemburu dengan teman lelakinya yang didakwa menjalin hubungan dengan seorang wanita lain.

“Bagaimanapun motif pemilikan senjata oleh lelaki itu masih dalam siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu mempunyai dua rekod lampau namun ujian saringan awal air kencing kedua-dua individu itu negatif.

“Polis merampas sepucuk pistol, sebuah kelopak dan 30 butir peluru 9 mm. Lelaki itu direman empat hari bermula semalam hingga Rabu ini, manakala teman wanitanya diberi jaminan polis, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini