PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau amat terkesan dengan permergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Anwar dalam satu kenyataan di Facebook menyifatkan Salahuddin seorang sahabat yang setia.
Artikel berkaitan: Salahuddin meninggal dunia
Katanya, Salahuddin teguh bersama berjuang sehingga ke akhir hayat dan pemergian Salahuddin adalah satu kehilangan besar buat diri beliau dan keluarga.
Beliau menganggap Salahuddin kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
Mengakhiri kenyataannya, Anwar memohon semoga Allah memberi kesabaran yang tinggi kepada keluarga Salahuddin, mengampunkan segala dosanya dan beliau diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyampaikan ucapan takziah berkata Salahuddin adalah antara rakan menteri yang sangat dihormatinya.
“Beliau berperwatakan rendah diri, sentiasa komited dan berdedikasi di dalam melaksanakan tanggungjawab,” kata Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO di Facebook.
Tambahnya, “sehingga hujung nyawa beliau prihatin dan terus berjuang memikirkan kesejahteraan rakyat. Negara kehilangan pemimpin hebat.”