Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Hanya dengan mengingati not muzik, Sarah Irdina Muhammad Izham, 10, cekap menekan bar-bar piano meski pun baru dua tahun aktif bermain alatan muzik itu.
Sarah yang juga murid Sekolah Kebangsaan Putra, di sini, mula tular di laman sosial minggu lalu menerusi videonya bermain piano lagu Guruku dengan olahan lirik yang dilakukan bersama guru muziknya, Nik Hafizah Awang@Mustafa.
“Saya gembira sangat selepas video petikan piano saya tular di seluruh Malaysia, terima kasih ibu bapa saya, terutamanya cikgu Nik Hafizah yang banyak membimbing dalam bidang muzik.
“Petikan piano itu saya tujukan kepada semua guru di SK Putra dan seluruh negara,” katanya yang juga AJK Kelab Kebudayaan dan Kesenian SK Putra kepada Buletin TV3.
Video berdurasi 2 minit 49 saat itu merupakan latihan sebelum membuat persembahan sebenar pada sambutan Hari Guru peringkat sekolah, Khamis ini.
Sementara itu, Nik Hafizah yang memuatnaik video itu ke laman sosial menganggap bakat dimiliki Sarah sangat mengagumkan dan perlu dikongsi dengan orang ramai.
“Dalam tempoh dua tahun ini, Sarah memang aktif bermain piano dan kami banyak berlatih bersama… Video yang tular itu pun adalah video latihan, di mana dia bermain piano dan saya mengubah sedikit lirik lagu dimainkan.
“Dia sangat berbakat, banyak not-not lagu yang dia ingat walaupun cuma hafal dari Youtube sahaja, ini yang membanggakan tentang Sarah,” ujarnya.
Menurut Nik Hafizah, video itu dimuatnaik minggu lalu dan mulai tular pada Khamis.
Ia turut dikongsi laman Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Perlis.