Tumpuan :
Nasional

Beras tempatan 10kg pada harga RM26 tiada di kedai runcit, pasar raya

Foto hiasan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 24 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) yang dijanjikan kerajaan dijual dalam pasaran di seluruh Semenanjung bermula hari ini tiada dalam pasaran.

Tinjauan di beberapa kedai dan pasar raya di daerah ini mendapati, orang ramai sangat kecewa apabila beras tempatan itu tidak masuk pasaran seperti dijanjikan.

Menurut Sawiah Muda, 66, dia sangat kecewa kerana hasratnya untuk membeli beras tempatan dengan harga murah tidak kesampaian untuk menyambut Ramadan.

“Sangat kecewa, saya warga emas dan tidak bekerja, bila datang ke kedai dan pasar raya, beras tempatan tak ada. Yang ada adalah beras import dan harganya RM10 lebih mahal”, katanya.

Seorang lagi pengguna, Wahid Mohammad, 63, ketika ditemui berkata, dia seolah-olah tertipu bersabit perkara itu.

“Nak beli beras tempatan tak ada pula, yang ada beras import dan dijual dengan harga mahal.

“Beras import pun dicampur beras tempatan ini dan menyebabkan golongan sasar seperti kami dianiaya”, katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, barangan keperluan harian itu hanya akan dijual kepada 400,000 keluarga miskin sahaja dengan dua pek bagi setiap ketua isi rumah (KIR) mengikut tatacara ditetapkan.

Beliau berkata, sebanyak 24 juta kampit 10kg BPT bersubsidi akan mula dijual menerusi projek rintis untuk tempoh enam bulan itu dengan menyasar 400,000 KIR miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar.

Jadi BPT bersubsidi dilaporkan mula berada di pasaran hari ini dan akan berakhir pada 31 Ogos ini, untuk tempoh enam bulan.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini