PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum mempunyai ketetapan yang dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan datang.
“KPKM ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari 2024.
“Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
Semalam, Perdana Menteri berkata, beliau yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti dalam mesyuarat khas NACCOL yang dijangka berlangsung minggu depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.