KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan Beras Putih Malaysia Madani bukan untuk memberi manfaat kepada mana-mana kartel, sebaliknya untuk menghapuskan campur tangan mereka.
Ujarnya, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan datang.
“Tidak, kita akan hapuskan campur tangan kartel (dalam isu beras). Kita akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat Naccol akan datang,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir dalam Majlis Ramah Mesra bersama warga Maybank di ibu negara pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Saleh yang mengesa Anwar agar tidak membenarkan cadangan Beras Putih Malaysia Madani dilaksanakan.
Jelas Dr Muhammad Akmal, cadangan itu hanya akan menyebabkan beras putih tempatan tidak akan ada di pasaran serta seolah-olah menyokong kartel yang mencampurkan beras tempatan dan beras import.
Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri itu dijangka diadakan pada 23 Februari depan.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan NACCOL, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk berkaitan bekalan beras negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.