SANDAKAN: Sampel beras plastik seperti didakwa dalam satu video tular sudah diambil dari sebuah pasar raya di sini, hari ini untuk tujuan analisa.
Ketua Cawangan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Sandakan, Mohamad Saiful Nizam Adnan berkata, pihak peruncit dan pembekal jenama terbabit tampil ke pejabat KPB untuk membuat aduan secara rasmi berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan berkaitan dakwaan itu dengan melakukan pengambilan sampel beras di premis peruncit dan pembekal untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.
“Namun, pihak KPB sama sekali menangkis dakwaan terdapat beras plastik di pasaran khususnya di kawasan Sandakan.
“Ini kerana, setiap kemasukan beras import di pelabuhan, BERNAS akan membuat ujian makmal terlebih dahulu bagi memeriksa keselamatan beras serta sijil keselamatan juga perlu dikemukakan oleh negara pengeksport.
“Proses ini amat dititikberat untuk setiap kemasukan beras import ke negara ini bagi menjamin keselamatan terhadap beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Terdahulu, KPB menjalankan pemeriksaan di pasar raya berkenaan.
Katanya, KPB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran orang awam terhadap isu keselamatan makanan negara terutamanya beras.
“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan perkara ini.
“Orang awam dinasihatkan tampil untuk membuat aduan secara rasmi jika ada apa-apa masalah berkaitan beras dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu atau tiada asas kukuh seperti yang didakwa di media sosial,” katanya.
Terdahulu, tular satu video di media sosial mendakwa beras palsu dijual di Sandakan.