Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian telah diturunkan penyedia platform e-dagang bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei lalu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, semakan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mendapati penjual beras tersebut tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan badan berkenaan.
Selain itu, semakan juga mengesan beras yang dijual dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.
“Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Sebarang urus niaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah KPB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPKM, ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.
Di samping itu, beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan kerajaan.
Perbuatan tersebut adalah kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.
Mengulas lanjut, KPKM berkata, penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuat kuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Justeru, pihak KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa,” katanya.
KPB turut mengingatkan peniaga mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuat kuasa untuk penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras.
Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.