Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Berang kena leter, anak belasah bapa dengan penyodok hingga mati

 

PETALING JAYA: Seorang lelaki bukan sahaja tergamak memukul bapa kandung dengan penyodok pasir sehingga mati, malah turut membuang mayat si bapa di tepi jalan hanya kerana tidak tahan dileteri mangsa.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam  di sebuah rumah di Jalan PJS 10/9A, Bandar Sunway di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata siasatan mendapati suspek sudah dua tahun tidak bekerja dan kerap menghabiskan wang untuk membeli minuman keras.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (kiri) menunjukkan gambar penyodok dan kereta digunakan suspek pada sidang media di IPD Petaling Jaya. – Foto: NSTP

“Perkara itu menjadikan mangsa kerap memarahi suspek sehinggalah pada hari kejadian, suspek yang berusia 40-an dipercayai hilang sabar dan memukul kepala serta tubuh bapanya beberapa kali dengan penyodok pasir.

“Suspek kemudian membalut tubuh bapanya yang tidak sedarkan diri dengan langsir dan dimasukkan ke dalam kereta sebelum memandu ke Jalan PJS 10/24 dan mencampakkan bapanya di tepi jalan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, seorang saudara mangsa yang menyedari mangsa tiada di rumah kemudian cuba mencarinya sebelum menemuinya dalam keadaan terbaring di tepi Jalan PJS10/24, iaitu dua kilometer dari rumah mangsa, kira-kira jam 2.15 pagi, hari sama.

“Perkara itu dilaporkan ke Balai Polis Sungai Way sebelum sepasukan polis dan pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dikejarkan ke lokasi.

“Bagaimanapun, pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke PPUM untuk proses bedah siasat,” katanya.

Katanya polis menahan seorang lelaki yang juga anak mangsa berusia 40-an pada jam 9.10 pagi hari sama di kawasan perumahan di Jalan PJS 10/9A untuk siasatan.

“Pada jam 11.30 pagi, sepasukan polis ke rumah mangsa dan merampas satu penyodok pasir yang dipercayai digunakan suspek memukul bapanya.

Polis turut merampas kereta jenis Perodua Kelisa yang digunakan suspek.

“Motif pembunuhan ini adalah kerana suspek tidak berpuashati dengan tindakan mangsa yang selalu menghina suspek dan memberi tekanan kepada suspek yang malas bekerja dan gemar minum minuman keras.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kes jenayah berkaitan kes pecah amanah dan memiliki senjata berbahaya, manakala ujian saringan air kencing pula negatif.

“Suspek kini direman tujuh hari hingga 2 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Loading...
Terkini