comscore
Tumpuan :
Nasional

Berang ditegur bising, juruaudit dikejar lelaki berparang

Tangkap layar menunjukkan lelaki bersenjatakan parang membuat kecoh di sebuah gerai burger di hadapan kedai dobi layan diri di pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor. – Video tular

KUALA SELNGOR: Seorang lelaki bersenjatakan parang mengejar seorang juruaudit kerana berang ditegur supaya memperlahankan suara dalam kejadian di hadapan sebuah dobi layan diri di pekan Bestari Jaya, di sini.

Video kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.50 malam Rabu lalu itu tular di media sosial.

Suspek berusia 44 tahun, dipercayai di bawah pengaruh alkohol turut melibas tempat duduk sebuah motosikal diletakkan berhampiran sebuah kedai buger sehingga terkoyak.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata sebelum kejadian berkenaan, suspek menghampiri juruaudit berusia 30 tahun itu yang pengadu dalam kes terbabit dan isterinya, sambil membuat bising.

“Suspek meminta wang daripada pengadu dan peniaga burger, manakala pengadu meminta suspek memperlahankan suara.

”Suspek yang marah kemudian menuju ke kereta dan mengambil parang lalu mengejar pengadu sambil menghayun senjata tajam itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, juruaudit itu bagaimanapun berjaya melarikan diri dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) tiba di lokasi  dan menahan suspek.

“Polis merampas sebilah parang digunakan dalam kejadian itu. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Loading...
Terkini