KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, menyifatkan berada di Penjara Sungai Buloh lebih sebulan umpama masuk dobi untuk mencuci hatinya.
Selain mendekatkan diri dengan Allah, Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad mengakui banyak petunjuk ditemui sepanjang dalam tahanan.
“Saya bersyukur dibebaskan pada hari Israk Mikraj. Jujurnya, saya tak sangka boleh bebas dengan jaminan.
“Apa yang boleh dikatakan, saya seperti masuk dobi (penjara) cuci hati sepanjang 39 hari.
“Alhamdulillah, Allah tempat saya mengadu. Sepanjang tempoh ini, saya lebih mendekatkan diri dengan-Nya, mengaji al-Quran setiap hari dan solat jemaah.
“Namun, banyak perkara tak sangka berlaku. Saya diberikan petunjuk satu demi satu,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Baginya, wang ringgit tidak lagi bernilai, namun sokongan moral daripada Jabatan Penjara Malaysia termasuk penghuninya memberi semangat untuk terus kuat berdepan ujian Allah.
“Saya berterima kasih kepada kakitangan Penjara Sungai Buloh. Dari hari pertama jejak kaki, mereka sambut dan layan saya dengan baik.
“Saya diletakkan dalam blok keselamatan dan dijaga dengan baik. Selain itu, kakitangan penjara dan penghuni juga banyak memberikan sokongan moral kepada saya.
“Jujurnya, saya tenang walaupun berdepan ujian berat ini,” katanya.
Pelakon filem Adnan Sempit dan Taikun itu berkata, dia juga terharu dengan sokongan ibu, adik-beradik, keluarga dan ramai rakan artis.
“Saya tak sangka ramai rakan artis menyokong saya. Bila keluar, barulah saya tahu.
“Tak terhitung juga pengorbanan ibu, anak, adik-beradik dan ipar duai saya. Mereka teguh berdiri di belakang saya dalam apa juga keadaan.
“Namun, apa yang boleh saya katakan, tunggulah episod seterusnya. Ada kisah yang tak pernah saya jangkakan,” katanya.
Semalam, Along Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Along didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah serta dibenarkan ikat jamin RM5,000.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.