KOTA BHARU: Sebahagian benteng membabitkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang pecah petang tadi susulan arus deras akibat banjir.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha, berkata pihaknya mendapat laporan berhubung kejadian itu jam 5 petang tadi.
“Berdasarkan rakaman, benteng yang pecah itu membabitkan panjang 20 meter. Banjir lalu benteng berkenaan sudah retak dan kita sudah membaik pulih.
“Namun disebabkan arus yang sangat deras banjir kali ini, benteng berkenaan pecah petang tadi. Susulan kejadian itu, kawasan sekitar terutama Tumpat akan mengalami banjir yang lebih teruk berikutan aliran air Sungai Golok akan turun ke daerah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebahagian benteng membabitkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang pecah petang tadi susulan arus deras akibat banjir. pic.twitter.com/F0rYXpQISy
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 20, 2022
Mengulas lanjut, Kamal berkata, benteng berkenaan dibina 2018 dan sudah siap sepenuhnya membabitkan panjang hampir 20 kilometer(km) di kawasan berkenaan.
“Sehubungan itu, benteng berkenaan akan dibaik pulih semula selepas ini,” katanya.
Terdahulu beberapa rakaman tular di media sosial, menyaksikan benteng di kampung berkenaan pecah dengan arus yang dilihat begitu deras.