PUTATAN: Puluhan kenderaan termasuk kenderaan lama musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Ramayah, berhampiran kedai perabot, di sini, pagi tadi.
Sebuah rumah pekerja dan rumah untuk sarang burung walit turut musnah dalam kejadian jam 9.20 pagi itu.
Kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Difahamkan, beberapa kenderaan yang musnah itu baharu sahaja dihantar oleh pemiliknya untuk dibaiki di bengkel berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.29 pagi.
Pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas turut tiba bagi membantu operasi memadamkan api.
Kebakaran dapat dikawal jam 10.26 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.