Tumpuan :
Nasional

Bendera merah dinaikkan di Pantai Chenang dan Tengah

LANGKAWI: Orang ramai khususnya pelancong diingatkan mematuhi arahan dan tanda amaran bendera merah di Pantai Chenang serta Tengah di sini, berikutan keadaan ombak besar yang bergelora yang berlaku ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Langkawi yang juga Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah berkata, pengunjung hendaklah menghentikan aktiviti riadah jika ternampak bendera merah dinaikkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Anggota APM ada membuat pemantauan dan tinjauan di sepanjang kedua-dua pantai yang menjadi tumpuan awam itu dan bersedia menasihati pengunjung jika mengesan keadaan cuaca serta situasi berbahaya.

“Kita juga telah membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Langkawi dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi bagi tujuan pemantauan serta koordinasi pengurusan bencana,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, Bilik Gerakan PKOB Langkawi beroperasi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi beroperasi 24 jam dan boleh dihubungi menerusi talian 04-9611474/049611574 atau WhatsApp 019-5661667.

“Pada masa sama, semua pihak perlu peka dan prihatin dengan informasi cuaca terkini dikeluarkan pelbagai jabatan dan agensi serta mengambil tindakan segera jika mengesan keadaan cuaca tidak normal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md Yasin, berkata pihaknya telah menaikkan bendera merah di dua kawasan pantai tumpuan pelancong itu sejak tiga hari lalu.

“Amaran berbahaya itu (bendera merah) dinaikkan selepas keadaan laut bergelora dengan ombak mencecah setinggi 3.5 meter berikutan hujan dan ribut tidak menentu yang berisiko kepada pengunjung.

“Pengunjung tidak dibenarkan melakukan aktiviti riadah berikutan keadaan ombak besar serta air pasang boleh mendatangkan bahaya sehingga membawa kepada kehilangan kepada pengunjung,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini