KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengesahkan tender perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) belum diserahkan kepada mana-mana syarikat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebaliknya proses perolehan untuk projek membabitkan peruntukan RM854 juta itu masih lagi berlangsung.
Justeru, beliau menyifatkan pendedahan yang dikeluarkan mengenai tender SPH sejak semalam itu tidak lebih sekadar untuk menimbulkan kekeruhan serta keraguan.
Mengulas lanjut, katanya, proses rundingan antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan juga masih diteruskan.
“Maklumlah dalam landskap politik hari ini, macam-macam benda akan diluahkan dan saya minta semua pihak supaya rasionalkan dan benarkan proses itu berjalan seperti biasa.
“Proses untuk dianugerahkan tender ini juga banyak berkisar kepada pelbagai agensi dan bukannya MINDEF sahaja.
“Setakat ini, kita juga akan berbincang seperti biasa dengan MOF dan selagi tender ini belum ditentukan, saya rasa kenapa kita nak war-warkan sesuatu yang belum ‘diberikan’ (dianugerah tender) atau diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa tender perolehan SPH itu dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baru dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.
Rafizi mendakwa arahan dikeluarkan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan supaya rundingan terus dengan syarikat MA Analytic Sdn Bhd yang tiada pengalaman dalam bidang berkenaan.
Dalam pada itu, Hishammuddin percaya perolehan SPH itu tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan.
“Jika setakat proses SPH itu, saya rasa tidak akan jejaskan kedudukan kita kerana saya rasa proses antara surat dua kementerian yang selalunya tidak bocor, perlu diumumkan.
“Kita perlu imbangkan mana yang betul-betul jejaskan keselamatan negara dan itu kita tidak akan kompromi,” katanya. -BERITA HARIAN