Tumpuan :
Nasional

Belum ada perbincangan ganti sistem imigresen – MyEG

MYEG Services Bhd (MYEG)

KUALA LUMPUR: MyEG Services Bhd menjelaskan syarikat itu tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan kerajaan berhubung langkah untuk meletakkan semua transaksi berkaitan imigresen di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MyEG berkata, tiada sebarang perbincangan antara Lembaga Pengarahnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengenai cadangan kerajaan menyatukan semua transaksi imigresen di bawah NIISe.

“Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman berkaitan kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat sebarang maklumat penting termasuk di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam tempoh penangguhan dagangan selama sejam saham syarikat terbabit antara jam 2.44 hingga 3.44 petang.

Sejurus selepas dibuka, Bursa Securities menggantung saham MyEG di bawah dagangan harian proprietari dan jualan singkat harian selepas saham turun lebih 15 sen atau 15 peratus berbanding harga rujukan.

Saham MyEG berada di bawah tekanan jualan pada sesi dagangan pagi susulan laporan mengatakan bahawa kerajaan bercadang menyatukan semua perkhidmatan dan proses imigresen termasuk pembaharuan pasport, permohonan visa serta permohonan dan pembaharuan permit pekerja asing di bawah NIISe menjelang 2025.

Saham MyEG susut kepada 65.5 sen ketika pembukaan dagangan hari ini, turun 30 sen atau 31.41 peratus berbanding ketika ditutup pada Jumaat.

Saham syarikat itu ditutup pada 70 sen sesaham, susut 25.5 sen dengan 1.02 bilion saham bertukar tangan

NIISe yang dibangunkan Iris Corp Bhd dikatakan akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) semasa yang telah diguna pakai oleh JIM sejak 13 tahun lalu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dipetik berkata, KDN telah memperuntukkan RM900 juta untuk memperkenalkan NISSe dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sistem baharu itu dijangka menjadi pencetus perubahan dalam meningkatkan kecekapan JIM dan pengalaman pelanggan.

Loading...
Terkini