Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan belum ada apa-apa keputusan kenaikan harga gula setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rakyat masih dapat membeli bekalan bahan mentah itu dengan harga yang ditetapkan.
“KPDN akan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas situasi yang berlaku, begitu juga yang mungkin membuat provokasi kononnya harga gula akan dinaikkan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gangguan bekalan gula paket satu kilogram (kg) di Kelantan dan Terengganu adalah susulan penutupan sementara kilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) di Johor dan Perai, Pulau Pinang kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Bagaimanapun, kedua-dua kilang berkenaan sudah beroperasi semula pada 25 April lalu.
“KPDN sudah bekerjasama rapat dengan dua pengilang utama negara iaitu MSM dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) bagi memastikan isu gangguan kepada bekalan ini diatasi dengan segera di negeri terbabit.
“Kalau ada pihak yang menyorok atau melakukan sabotaj akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Justeru, beliau berharap penduduk di negeri tersebut tidak panik mahupun terpedaya dengan kemungkinan isu harga gula akan naik dimainkan pihak tertentu.