Tumpuan :
Nasional

Belum ada ahli, bekas anggota GISBH di Melaka sertai sesi pulih akidah

HULU LANGAT: Tiada ahli atau bekas anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Melaka tampil menyertai sesi pemulihan akidah, setakat ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan atau dihubungi mana-mana individu dalam kumpulan itu untuk meminta bantuan pihak autoriti agama negeri bagi tujuan sama.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin didorong prosedur pengendalian kes berkaitan ahli atau bekas anggota GISBH masih di bawah seliaan Persekutuan, terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, beliau bersedia bekerjasama dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mana-mana ahli atau bekas anggota GISBH di negeri itu yang mahu menyertai program pemulihan akidah.

“Di Melaka belum ada ahli atau bekas anggota GISBH yang tampil meminta bantuan pihak autoriti agama negeri untuk membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

“Saya yakin proses pemulihan akidah ahli dan bekas anggota GISBH banyak berlaku di peringkat Pusat kerana isu ini masih di bawah seliaan MKN dan PDRM.

“Saya akan beri kerjasama dari sudut bantuan pemulihan akidah ahli dan bekas anggota GISBH.

“Kita harap permasalahan ini dapat diatasi sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Mastery Cilik Al Bayan di sini, semalam.

Media sebelum ini, melaporkan ahli GISBH mungkin tidak menyertai program pemulihan dilaksanakan MKN jika tidak mendapat ‘restu’ pemimpin tertinggi kumpulan itu.

Peguam mewakili GISBH, Rosli Kamaruddin, dilaporkan berkata pengikutnya masih ragu-ragu menyertai program sukarela berkenaan biarpun kumpulan terbabit mengalu-alukan usaha itu.

Ia berikutan mereka tidak tahu kaedah menjawab tawaran itu, terutama apabila pemimpin tertinggi masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada 14 Oktober lalu, Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan kepercayaan dalam GISBH sesat dan tersasar daripada ajaran Islam sebenar serta Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa elemen ajaran dan kepercayaan pengikut dalam GISBH dikenal pasti menyamai amalan kumpulan Al-Arqam yang diwartakan sesat pada 1994.

Abdul Halim ketika mengulas pembabitan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam negeri (JAIM) dalam program pemulihan itu, berkata perkara itu masih dikendalikan MKN dan PDRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini