comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Beli dadah serendah RM18 di ‘dark web’, kurier ke rumah – AADK

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Beli dadah di laman sesawang gelap (dark web) serendah RM18 dan dihantar terus menggunakan kurier ke depan pintu rumah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, itu antara kaedah penagih dadah untuk mendapatkan bekalan mereka seperti dimaklumkan kepada agensi berkenaan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon

“Harga dadah ini kalau ikut catatan kita, ia ikut keaslian atau ketulenan. Ada yang murah, semurah RM18 termasuk penghantaran pun ada direkodkan dan dimaklumkan oleh mereka.

“Kita telah meneliti dengan klien kita di AADK, mereka yang berada di tahap ‘suka-suka’, ‘guna-guna ringan’ akan membelanjakan lebih kurang RM50 untuk permulaan bagi setiap tiga hari. Jumlah akan meningkat ikut keparahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Putra Perdana
di sini, hari ini.

Sutekno berkata, berdasarkan kajian dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu, sumber bekalan dadah yang dikesan semakin popular dan meningkat adalah ‘dark web’, berbanding daripada tokan
dan rakan sebaya.

Selain itu, ujarnya, pembelian bahan terlarang berkenaan juga dilakukan melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa untuk meneliti setiap bungkusan yang diterima di rumah.

“Pihak berkuasa sedang berunding dengan kementerian yang menyelia perkhidmatan kurier untuk dikaji (kawal selia) dan dilaksanakan peraturan. Itu antara perkara yang dicadangkan dalam mesyuarat tadi,” katanya.

Sementara itu, Sutekno berkata, pihaknya akan meningkatkan lagi kempen anti dadah termasuk menggandakan usaha untuk menambah keahlian Skuad Anti Dadah bermula tahun ini.

“AADK menyasarkan pembabitan sejuta ahli Skuad Anti Dadah sehingga Julai tahun depan untuk bantu program cegah dadah. Setakat ini jumlah keahlian ada 105,000 orang.

“Kita menawarkan satu pendekatan baharu untuk memastikan mereka yang menyertai skuad ini boleh menikmati keahlian tersebut sambil membantu AADK memberi kempen kesedaran dan pendidikan awam kepada rakan, ahli keluarga dan komuniti setempat,” katanya.

Loading...
Terkini