Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pagi tadi, antara individu tersohor yang mengukir nama dalam dunia korporat dan politik negara.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Alor Setar, Kedah, Tun Daim memulakan pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn London, United Kingdom.
Allahyarham kemudian memperoleh ijazah undang-undang dan menjadi seorang peguam.
Antara 1979 dan 1984, beliau dilantik sebagai Pengerusi Peremba Bhd, antara syarikat bumiputera yang mempelopori sektor pembinaan.
Allahyarham turut dikenali sebagai pemaju hartanah di Taman Maluri, selain memiliki pegangan dalam United Malayan Banking Corporation (UMBC) dan Malaysian-French Bank ketika itu.
Tun Daim dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1984 di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, selain dilantik menjadi Bendahari Agung UMNO.
Allahyarham memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula ekonomi ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1997-1998.
Selain itu, Allahyarham turut berperanan dalam menggubal beberapa dasar utama negara termasuk Polisi Penswastaan 1983.
Walaupun berundur sebagai pemimpin kerajaan dan politik pada 2001, Allahyaram membuat kemunculan semula pada 2018 apabila dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), juga semasa Tun Dr Mahathir kembali menerajui kerajaan selama 18 bulan.
Media Prima Bhd mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Tun Daim Zainuddin meninggal dunia
- Hospital Assunta jadi tumpuan susulan kematian Tun Daim
- [VIDEO] Jenazah Tun Daim dibawa ke kediaman
- Tun Daim meninggal dunia
- Tun Daim meninggal: Menteri, Ahli Parlimen rakam takziah
- Kerajaan rakam takziah atas pemergian Tun Daim – Fahmi
- ‘Saya hilang sahabat seperjuangan’ – Tun Mahathir