Tumpuan :
Nasional

Belanjawan MADANI, kerajaan berjaya kawal hutang baharu – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mengawal jumlah hutang baharu dengan pembentangan Belanjawan MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk tahun hadapan, beliau selaku Menteri Kewangan menyatakan hutang baharu dijangka hanya setakat RM80 bilion.

“Kadang-kadang sebahagian Ahli Parlimen dan diluar mereka memperkecilkan isu ini dengan menyatakan jumlah hutang sebenar itu berlebih.

“Tetapi saya sebutkan hutang berkurangan, pada tahun 2022 hutang RM100 bilion, 2023 turun RM90 bilion, 2024 turun lagi RM85 bilion dan bagi tahun 2025 insyaAllah kita pertahankan setakat RM80 bilion.” Katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Tambahnya, Belanjawan Madani ketiga ini turut memperhebat usaha pembaharuan fiskal yang lebih tegas, progresif dan bersasar.

“Kerajaan akan terus mengimbangi usaha mengukuhkan kedudukan kewangan supaya lebih mampan dan pada masa sama, memastikan dasar fiskal tetap menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.

“Langkah tegas dan berperingkat telah diambil bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten iaitu daripada 5.5 peratus (2022) kepada 5 peratus (2023); anggaran 4.3 peratus (2024) dan unjuran 3.8 peratus (2025). Ujarnya.

Menurut Datuk Seri Anwar lagi, melepasi dua tahun pentadbiran MADANI kedudukan ekonomi negara terus mengukuh.

“Angka terkini mencatatkan kejayaan kita mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, mengatasi unjuran Belanjawan 2024 iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 antara empat hingga lima peratus,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini