comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Tiada pelaksana projek mega, tumpu pembangunan berkepentingan rakyat

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega, sebaliknya pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat.

Perdana Menteri berkata, tumpuan pembangunan negara juga kepada kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 hari ini, beliau menyenaraikan projek berkepentingan rakyat dan menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Di Perak, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sebagai hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara yang diterajui oleh SD Guthrie dan PNB.

Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang, selain Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif negara dipacu oleh Proton dan Geely.

Projek lain adalah Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.

Di Pahang, Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai di negeri itu, pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands dengan menaik taraf jalan dari Bulatan McDonalds ke Persimpangan Brinchang.

Di Johor, Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap, selain Projek RTS Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2027.

Selain itu, Projek Pembinaan Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.

Di Kelantan, Projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan Projek Pemanjangan Landasan Kapal Terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Di Melaka, pembinaan pusingan U bertingkat dan direct u-turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana di Melaka Tengah, selain Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.

Di Perlis, projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat lorong.

Selain itu, projek naik taraf pos kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks ICQS Wang Kelian.

Di Selangor, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2, pembesaran Pelabuhan Klang ke arah aspirasi sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia, selain melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.

Di Kedah, pembesaran Kulim Hi-Tech Park yang akan menempatkan syarikat semikonduktor seperti Infineon, selain pembinaan bangunan tambahan Hospital Kulim.

Di Kuala Lumpur, membangunkan Rantau Warisan dengan membaik pulih Bangunan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah, selain Projek Lebuh Raya Laluan Istana–Kiara (LIKE) dari Jalan Duta ke Jalan Istana.

Di Negeri Sembilan, Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Jempol dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah.

Di Pulau Pinang, Projek LRT Pulau Pinang, Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Projek Batu Kawan Industrial Park 3.

Di Terengganu, Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, selain Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark, Merchang; Projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini