comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: RM45.3 bilion untuk pertingkat kemudahan kesihatan berkualiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion tahun lalu dalam Belanjawan 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehidupan pasca normal menuntut penjagaan kesihatan yang lebih rumit serta keutuhan badan kesihatan awam dan swasta selari dengan pertimbangan dalam Kertas Putih Kesihatan negara.

“Keutamaan kerajaan adalah untuk menyediakan kemudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat. Sejumlah RM1.35 bilion disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad pesakit yang usang.

“Kerajaan juga terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara. Di bawah Madani, peruntukan bagi maksud ini ditingkatkan setiap tahun iaitu RM100 juta (2023), RM150 juta (2024) dan RM300 juta untuk tahun depan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.

“Kerajaan bercadang memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri,” katanya.

Anwar berkata, sistem dan struktur perkhidmatan kesihatan awam perlu diperkasa supaya lebih berdaya tahan, mampan dan mandiri.

“Ikhtiar Rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diperkenalkan membabitkan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.

“Pelaksanaan ini akan bermula di lima hospital KKM yang mempunyai permintaan tinggi serta infrastruktur sesuai seperti Hospital Cyberjaya dengan peruntukan awal RM25 juta,” katanya.

Kata beliau, kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit KKM membabitkan perkhidmatan seperti kardiologi, radiologi dan nefrologi.

“Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan elemen persaingan mendapatkan harga terbaik buat kerajaan.

“Penyumberluaran ini turut diteruskan dengan Institut Jantung Negara (IJN) membabitkan pesakit jantung dalam kalangan pesara kerajaan berusia 65 tahun ke atas.

“Kerajaan akan melaksanakan dasar perolehan khusus (offtake) daripada syarikat yang membuat pelaburan domestik baharu untuk mengeluarkan produk farmaseutikal dan peranti perubatan kritikal,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja menyokong keterjaminan bekalan ubat daripada sumber tempatan, malah berupaya mengurangkan kos dalam jangka masa sederhana.

“Selain itu, pusat kecemerlangan kesihatan akan mengiktiraf pakar kesihatan terbaik negara yang berkhidmat di hospital kerajaan termasuk di pusat kecemerlangan seperti Hospital Serdang untuk rawatan jantung, Hospital Selayang untuk ‘Transplant & Hepatobiliari’, Institut Kanser Negara di Putrajaya, Institut Endokrin Putrajaya, Institut Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak.

“Bagi mengukuhkan Pusat Kecemerlangan yang dikenal pasti, kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta termasuk untuk perolehan peralatan terkini.

“Di samping pusat kecemerlangan sedia ada, kerajaan juga sedang melaksanakan kerja-kerja awalan bagi menubuhkan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini