KUALA LUMPUR: Nasib masyarakat Orang Asli terus terbela di bawah Belanjawan 2025 MADANI dengan peruntukan ditingkatkan hampir RM380 juta berbanding RM330 juta sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan diberi termasuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli melalui projek pembangunan semula ladang Orang Asli seluruh negara.
Beliau berkata, sejumlah RM10 juta turut disediakan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bekerjasama membina rumah di bawah program EPIC Homes yang dapat membekal elektrik dan air bersih kepada Orang Asli dengan lebih jimat dan pantas.
“Isu tanah runtuh kerap berlaku turut memberi kesan besar kepada perkampungan Orang Asli.
“Kerajaan akan membangunkan profil dan pemetaan kawasan cerun yang berisiko tinggi di perkampungan Orang Asli dengan kos RM18 juta.
“Ini supaya pencegahan awal dapat diambil sekiranya terdapat perkampungan yang memerlukan perhatian segera,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.