KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250.
“Bantuan ini akan disalurkan pada bulan Februari 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025, hari ini.
Sementara itu bagi terus memelihara kesejahteraan penjawat awam, kerajaan mengumumkan beberapa peruntukan termasuk menyediakan lebih RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam.
Perdana Menteri, berkata ia membabitkan kuarters termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
“Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan memperkenalkan Skim Pembiayaan PerumahanMuda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun,” katanya.
Kerajaan akan meluaskan dan memudahkan Skim Ex-Gratia bencana kerja bagi memperkasa perlindungan sosial kepada semua penjawat awam di negara ini.
Anwar berkata bayaran faedah Ex-Gratia Operasi sehingga RM50,000 akan diberikan bagi bencana kerja mulai tahun ini kepada anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaanyang hilang upaya kekal semasa dalam operasi.
Selain itu, katanya bayaran faedah Ex-Gratia Pukal sebanyak RM20,000 turut diberikan sebagai tambahan kepada waris bagi kes kematian bencana kerja mulai tahun ini.
“Kadar Elaun Layanan Sentiasa dinaikkan kepada RM1,500 ketimbang RM500 mulai 1 Januari 2025 termasuk kepada penerima sedia ada,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.