comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: PDRM pastikan tadbir urus kewangan terbaik

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memastikan insentif Belanjawan 2025 dimanfaatkan secara beramanah dengan tadbir urus kewangan yang terbaik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata perkara yang diumumkan Perdana Menteri hari ini akan dilaksanakan selaras dengan ketenteraman dan keamanan negara, sejajar dengan usaha kerajaan mensejahterakan rakyat serta memakmurkan negara berteraskan ekonomi madani.

Katanya, PDRM juga kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan berpaksikan integriti dan tata kelola yang baik, serta mendukung dasar kerajaan.

“PDRM sangat menyambut baik dan menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan lebih RM2.12 bilion untuk aset khusus bagi PDRM dan agensi beruniform di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ini bertujuan menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu membendung peningkatan kes jenayah, selain mengekang anasir permusuhan yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Beberapa pejabat polis baharu akan dibina tahun hadapan dengan kos RM2.1 bilion, antaranya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, IPD Petaling Jaya, dan Balai Polis Tanjung Minyak di Melaka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini