comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: KPM tumpu ekosistem pendidikan, tiada yang akan terpinggir

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kanan) menerima resolusi persidangan daripada Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Kebangsaan, Nurul Amali Mohd Shamsudin (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-62 di Bertam Resort. – FOTO: NSTP

KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa peruntukan yang bakal diumumkan kepada agensi itu menerusi Belajawan 2025 pada 18 Oktober ini akan dimanfaatkan berkaitan memantapkan keseluruhan ekosistem pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sudah mencadangkan dan telah membuat pembentangan berkaitan beberapa projek prasarana kepada Kementerian Kewangan untuk perhatian.

Katanya, matlamat utama KPM adalah mahu memastikan semua pelajar dan murid termasuk anak-anak berkeperluan khas tidak terpinggir dari menerima pendidikan yang sewajarnya.

“Oleh itu, kita (KPM) melihat bajet ini sangat penting khususnya untuk meletakkan beberapa keperluan-keperluan utama dalam pendidikan.

“Kita juga sangat yakin bahawa kerajaan akan memberikan tumpuan penuh sekali lagi kepada pendidikan khususnya dalam pelajaran yang akan datang.

“Tumpuannya pastilah melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan yang bermaksud tiada anak-anak yang akan terpinggir termasuk anak-anak keperluan khas,” katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini.

Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu di dihadiri 674 pengetua seluruh negara.

Ketika berucap semasa persidangan itu, Fadhlina menyentuh beberapa intipati berkaitan Belanjawan 2025 yang dibentangkan KPM kepada Kementerian Kewangan.

Ia adalah berkaitan menyelesaikan masalah kekurangan guru di seluruh negara, sekolah daif dan baik pulih tandas termasuk meminta kerajaan memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.

Fadhlina berkata, beliau berharap apabila belanjawan itu diumumkan minggu depan pihaknya dapat menggunakannya untuk beberapa inisiatif dan program yang dirancang.

“Kita akan meneliti isu sekolah dalam keadaan daif, prasarana dan kita juga boleh meneliti inisiatif baharu.

“Saya difahamkan kita mempunyai kekurangan guru, jadi kita boleh melihat perkara ini (penyelesaian),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini