comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Kerajaan sediakan RM550 juta untuk Tahun Melawat Malaysia 2026

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RM550 juta diperuntukkan sebagai persiapan rapi negara bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan.

Peruntukan itu merangkumi persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, penganjuran aktiviti budaya, acara pelancongan dan capaian penerbangan ke Malaysia.

 

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet itu juga merangkumi pemerkasaan ekonomi komuniti melalui seni termasuk mempromosi kraf tangan dan batik.

Katanya, sejumlah RM110 juta disediakan bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Ia seperti menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor, Pulau Redang, Terengganu dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak.

“Selain itu, menjalin kerjasama ekopelancongan dengan UNDP dan Habitat Foundation iaitu Pencalonan Unesco untuk Tapak Lombong Bijih Timah Sungai Lembing, Pahang, budaya perarakan Chingay dan tarian singa,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di sini, hari ini.

Katanya, bagi memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif, Khazanah menyediakan RM600 juta untuk memulih serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

“Perkara ini termasuk membina jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini