comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Kerajaan akan optimum ruang, bangunan kosong agensi, GLIC, GLC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semua ruang dan bangunan kosong milik agensi, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk dimanfaatkan bagi tujuan lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata antara lain semua ruang dan bangunan kosong itu akan dimanfaatkan untuk tujuan prasekolah, taska dan pusat latihan kemahiran.
“Saya juga mengarahkan untuk mengoptimum sumber termasuk menilai keperluan perjawatan di pejabat perwakilan dan agensi luar negara.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Wisma Putra sudah mengenal pasti 64 daripada 126 pejabat luar negara tidak beroperasi di bawah satu bumbung.

“Lantaran itu, kerajaan memutuskan supaya operasi mereka dipindahkan ke Pejabat Canseri atau digabungkan dengan pejabat berdekatan bagi menjimatkan kos lantas mengoptimumkan sumber,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan memperbanyakkan perkhidmatan bergerak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk keluar.

“Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah, Sarawak diperluas ke Kampung Pangaraan, Sabah dan Pulau Bruit, Sarawak, manakala klinik bergerak oleh hospital pengajar universiti diteruskan seperti rawatan saringan mamogram oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Klinik Gigi Bergerak ditambah sembilan lagi menjadikan 54 di seluruh negara. Bank BSN Bergerak ditambah empat lagi menjadikan 12 terutama untuk Sabah dan Sarawak bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan,” katanya.

Anwar berkata, perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mahkamah bergerak juga ditambah baik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini