comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 mulai Februari 2025 – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuatkuasa mulai Februari tahun depan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu bagi menstruktur ekonomi negara terutama dalam memastikan rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna.

“Untuk itu, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada 1,500 ringgit sebulan kepada 1,700 ringgit sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

“Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum 1,700 ringgit membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” jelasnya ketika membacakan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun tambah Anwar, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

Turut diumumkan, peruntukan RM200 juta bagi Dasar Gaji Progresif.

“Selanjutnya, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja.

“Dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan. Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50 ribu pekerja,” umumnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini