comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Hajiji sambut baik keutamaan berterusan kepada Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Sabah menyambut baik keutamaan berterusan Belanjawan Madani 2025 yang diberikan kepada negeri itu dalam mencerminkan langkah progresif Kerajaan Perpaduan untuk menyediakan kehidupan sejahtera kepada rakyat tanpa menjejaskan ekonomi negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan RM6.7 bilion untuk Sabah tahun depan adalah peningkatan sebanyak 0.45 peratus berbanding RM6.67 bilion pada tahun ini.

“Ini sudah memadai untuk meneruskan projek pembangunan pada tahun akhir Rancangan Malaysia Ke-12 pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mendengar siaran langsung Belanjawan Negara dari Dewan Rakyat yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Menara Kinabalu hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga menghargai Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan hak Sabah yang tidak boleh dipertikaikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ujar Hajiji, kerajaan Sabah turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan bayaran khas interim Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun depan, yang turut dimasukkan dalam Belanjawan.

“Sabah mengalu-alukan tumpuan berterusan Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan wilayah melalui penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji mengalu-alukan pengumuman bahawa Surat Setuju Terima (SST) bagi 17 pakej di bawah Fasa 1B Pan Borneo Sabah, termasuk jajaran Kota Belud – Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau bernilai RM9.7 bilion telah pun dikeluarkan.

Turut menyambut baik adalah pengumuman Kerajaan Persekutuan memuktamadkan pakej kerja Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion, dengan dua pakej telah dianugerahkan dan bakinya sebelum akhir tahun ini.

“Sabah juga mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau,” katanya sambil menambah semua itu tidak termasuk peruntukan untuk membaiki sekolah daif di negeri ini.

Tambah Hajiji, Belanjawan 2025 jelas menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam aliran semakin meningkat dan kukuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini